Tuesday 12 January 2016

Pengenalan berkenaan Skim Takaful Diri dan Keluarga

Secara umumnya, skim Takaful Diri dan Keluarga yang ditawarkan oleh mana-mana penyedia perkhidmatan takaful termasuklah Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) ada dua jenis skim yang utama
  1.  Skim takaful hayat dan kehilangan anggota badan kekal
  2. Skim kad perubatan
Siapa yang memerlukan Skim Takaful Hayat?

Skim takaful hayat ialah satu skim yang memberikan sumbangan kepada keluarga anda apabila anda meninggal dunia. Skim ini sangat diperlukan anda sekiranya anda mempunyai sejumlah hutang yang banyak, kerana keluarga anda bolehlah menggunakan wang sumbangan ini untuk menjelaskan hutang anda. Bagi Muslim, menjelaskan hutang merupakan sesuatu yang sangat dititikberatkan sehinggakan diajarkan kepada kita bahawa orang yang berhutang boleh terhalang haknya untuk memasuki syurga Allah yang penuh nikmat hanya kerana tidak menjelaskan hutang. 

Selain itu, skim takaful hayat juga boleh membantu keluarga anda dalam bentuk bantuan kewangan untuk keluarga anda meneruskan kehidupan anda selepas ketiadaan anda. Perkara ini lebih kritikal bagi keluarga yang si suami/bapa sahaja yang bekerja mencari nafkah kepada keluarga. Bagi pasangan yang kedua-dua suami isteri pun bekerja  mencari rezeki untuk anak-anak pula, manfaat dari skim takaful hayat ini boleh meringankan beban pasangan anda apabila anda sudah tiada nanti.

Oleh yang demikian, takaful hayat ini boleh mengurangkan kebimbangan anda jika berlaku apa-apa kepada anda. Dengan kata lain, anda pergi meninggalkan keluarga anda dengan penuh persiapan dan juga dengan hati yang tenang.

Di samping itu, takaful hayat ini lebih diperlukan oleh orang muda berbanding orang tua. Hal ini kerana umumnya orang muda mempunyai kurang simpanan dan aset bernilai untuk ditinggalkan kepada waris berbanding orang tua yang sudah lama bekerja.

Ringkasnya, golongan yang memerlukan takaful hayat adalah:
  •        Orang yang mempunyai banyak hutang
  •        Keluarga yang hanya si suami bekerja mencari rezeki untuk keluarga
  •        Pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak kecil tetapi hanya     mempunyai simpanan dan aset yang sedikit
  •        Ibu tunggal


Berapakah yang diperlukan keluarga anda di saat kematian anda?

Soalan ini sebenarnya agak subjektif dan jumlahnya berlainan kepada keluarga yang berlainan. Namun begitu, ianya sangat bergantung kepada bagaimana cara hidup dan perbelanjaan bulanan keluarga anda. Lalu, ada satu formula yang boleh diguna pakai untuk menentukan berapa banyak jumlah yang diperlukan iaitu dengan mendarabkan purata perbelanjaan bulanan keluarga dengan bilangan bulan yang diperlukan.


Sebagai contoh, perbelanjaan bulanan anda ialah RM1,000 dan anda mahukan keluarga anda untuk terus hidup seperti sedia kala untuk 5 tahun lagi selepas kematian anda, maka jumlah yang diperlukan ialah sebanyak RM1000 x 60 bulan iaitu RM60,000

Adakah orang bujang memerlukan takaful hayat?

Logiknya, seorang yang bujang tidak memerlukan takaful hayat melainkan ada orang lain yang bergantung harap kepada anda untuk meneruskan kehidupan mereka. Sebagai contoh orang tua dan golongan yang lemah yang tidak mampu bekerja. Walaupun begitu, ada juga orang bujang yang tidak mempunyai tanggungan tetapi mengambil takaful hayat supaya jika berlaku kematian kepada mereka, sekurang-kurangnya manfaat kematian itu bolehlah diberikan kepada orang yang tersayang terutama ibu bapa sendiri yang sudah bersusah payah membesarkannya sekali gus sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih kepada mereka. 

Berbanding dengan takaful hayat, orang bujang sebaliknya lebih memerlukan skim takaful kad perubatan dan kehilangan anggota badan. Walau bagaimanapun, oleh kerana hampir kesemua skim takaful hayat yang berada di pasaran datang bersama dengan takaful kehilangan anggota badan sebagai satu pakej, maka kepentingan untuk mengambil skim takaful hayat adalah sama pentingnya dengan skim takaful kad perubatan.

Setiap orang yang bekerja perlukan skim takaful kehilangan anggota badan kekal sebagai perlindungan kepada sumber pendapatan

Berbeza dengan takaful hayat yang mana manfaatnya adalah untuk menolong ahli keluarga terdekat dan waris si mati, manfaat takaful kehilangan anggota badan kekal pula adalah untuk kepentingan peserta itu sendiri. Oleh itu juga, semua orang yang mampu bekerja memerlukan perlindungan dari takaful ini. Hal ini kerana dibimbangi apabila berlaku kemalangan yang menimpa kita, ia menyebabkan kita kehilangan upaya untuk bekerja sekaligus terpaksa bergantung harap kepada orang lain untuk meneruskan kehidupan kita. Sekurang-kurangnya dengan adanya skim ini ianya diharapkan sedikit sebanyak mampu mengurangkan kebergantungan kita kepada orang lain.

Skim kad perubatan

Seperti skim kehilangan anggota badan kekal, manfaat ini adalah untuk manfaat peserta itu sendiri bukanlah kepada keluarga peserta. Ianya membantu anda untuk membayar kos perubatan bila mana anda disahkan menghidap sesuatu penyakit dan dimasukkan ke dalam wad untuk tujuan mengubati penyakit yang dihidapi. 

No comments:

Post a Comment